Penubuhan

Lanjutan dari perbincangan tersebut maka pada tanggal 6 Februari 1978, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan pertemuan antara empat pertubuhan Silat terbesar di Malaysia iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayung Malaysia, Seni Silat Lincah Malaysia dan Seni Silat Cekak Malaysia yang bertujuan untuk merealisasikan penubuhan Majlis Silat Negara. Antara wakil mereka yang hadir untuk tujuan tersebut ialah:

1.

YB. Datuk Saadon Noh

– Ketua

2.

Datuk Meor Abd. Rahman

– PSS Gayong Malaysia

3.

En. Mohd Razali

– PSS Gayong Malaysia

4.

Cik Umi Kalsom

– PSS Gayong Malaysia

5.

Tuan Hj. Omardin

– PSS Lincah Malaysia

6.

Dr. HN, Lubis

– PSS Lincah Malaysia

7.

Tuan Hj. Ismail

– PSS Lincah Malaysia

8.

En. Diman Hassan

– PSS Lincah Malaysia

9.

Ustaz Hanafi Bin Hj. Ahmad

– PSS Cekak Malaysia

10.

En. Amruddin Bin Buang

– PSS Cekak Malaysia

11.

En. Anuar Abd. Wahab

– PSS Gayung Fatani Malaysia

12.

En. Suhaimi Khalis Ishak

– PSS Gayung Fatani Malaysia

13.

En. Mohd Ibrahim

– KKBS

14.

En. Supiat Mukri

– KKBS

15.

En. Zainal Abidin Abu Zarin

– Seketariat

Majlis memutuskan untuk menerima cadangan dengan menentukan konsep dan struktur organisasi Silat yang dapat menerima manfaat kepada silat, rakyat dan negara. Mesyuarat juga menerima konsep mewujudkan organisasi Silat di peringkat negeri-negeri yang disediakan oleh bahagian Kebudayaan KKBS. Dalam kertas kerja KKBS bertajuk “SENI SILAT KE ARAH MENUBUHKAN MAJLIS SILAT NEGARA DAN PERSATUAN SILAT NEGERI” yang mewakili Silat peringkat negeri menyebutkan bahawa,

“Seni Silat terkenal sebagai suatu gaya seni pertahankan diri orang-orang Melayu di nusantara ini, warisan moyang ratusan tahun sebelumnya dan menjadi satu kemegahan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia.”

Berdasarkan data pada tahun 1975 (KKBS), jenis dan aliran Silat dalam tiap-tiap negeri di Malaysia sekitar 464 kelompok Silat yang merangkumi 265 jenis dan lebih dari 100,000 orang ahli di setiap negeri di negara ini. Sehingga tahun 1977 tidak ada satu rancangan khusus bagi pergerakan kegiatan silat di seluruh negara melainkan atas usaha pertubuhan atau persatuan silat itu sendiri. Pendirian KKBS ketika itu mengakui semua jenis Silat terlepas dari jenis dan sifatnya serta menyokong segala kegiatan pertubuhan Silat selagi memberi manfaat kepada masyarakat, tidak bertentangan dengan undang-undang negara.

Kertas Kerja Pembentukan Majlis Silat Negara

Untuk memudahkan pentadbiran Silat, satu definisi Silat disarankan dalam penulisan itu iaitu setiap Silat atau seni bela diri orang Melayu yang memiliki sifat-sifat fizikal ke arah pembangunan otot yang terdiri dari gerak dan langkah yang memberi tujuan kepantasan, kekuatan, ketrampilan koordinasi gerak, maksud mempertahankan diri baik dengan menggunakan muzik atau tidak dalam latihan, bersenjata atau tidak, bercorak Silat pulut, pukulan atau memiliki latihan jasmani secara “body-contact” atau tidak insentif dalam latihan.

Dari pendapat umum melalui percakapan dan ucapan-ucapan rasmi para Menteri dan Pembesar Negara di dewan tentang Silat menyatakan perlunya dibentuk satu badan yang bertanggungjawab mengenai urusan silat. Silat Melayu boleh mencapai taraf antarabangsa jika ada usaha bersama dari organisasi Silat Melayu. Selama ini Silat telah menarik minat golongan yang dianggap sampah masyarakat atau pemuda yang rosak jiwa atau liar yang sukar dibentuk meninggalkan perkara-perkara yang tidak elok seperti gejala sosial. Silat dapat mendidik jiwa anak-anak muda. Dari jumlah keanggotaan Silat ketika itu sudah cukup kuat untuk mengembangkan semangat berdikari di bidang ekonomi yang kukuh. Silat harus bersikap bertanggungjawab menguatkan keamanan di dalam negara dengan membenteras pengaruh negatif atau musuh yang selalu mencari peluang untuk memecahkan penyatuan Negara, merendahkan bangsa, agama dan Negara.

Pembentukan Majlis Silat Negara adalah bertujuan ke arah menentukan pelaksanaan pentadbiran Silat melalui satu badan gabungan yang menjaga serta mengawal kepentingan silat. Selain menciptakan budaya yang sihat di antara pelbagai jenis dan aliran Silat.

Penubuhan PESAKA Malaysia

Hasrat untuk mendirikan Majlis Silat Negara telah berjaya dan kini dikenali sebagai Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA Malaysia). Perubahan nama tersebut adalah kesan terhadap pembentukan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) pada 24hb. September 1979 yang mengakui Malaysia sebagai anggota pendiri PERSILAT di mana Malaysia, Singapura dan Brunei yang merupakan Negara pewaris silat yang banyak terdapat aliran silat yang memiliki asal usul dan badan induk di nusantara ini. 

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA Malaysia) telah ditubuhkan secara rasminya pada 24 September 1983. Tujuannya adalah untuk mengembangkan, meningkatkan, menyatukan dan mengeratkan hubungan semua badan Silat, memperjuangkan, memelihara dan mempertahankan Silat sebagai seni budaya orang Melayu di Malaysia. Memimpin dan menanamkan semangat waja menuju masyarakat yang sihat, bersatu, bermuafakat dan berbudi luhur. Mewakili perguruan Silat dengan kerajaan, badan-badan antarabangsa yang bersangkutan dengan kepentingan Silat. Tujuan adalah Silat sebagai keagungan dan dasar kekuatan nasional yang kukuh dengan anggotanya yang bermartabat, bersatu, sihat dan disiplin.

Silat telah disatukan di bawah satu organisasi peringkat nasional dengan empat perguruan diakui sebagai badan pendiri iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayung Malaysia, Seni Silat Cekak Malaysia dan Seni Silat Lincah Malaysia. Silat yang berada di peringkat negeri menjadi anggota PESAKA Negeri. Kerana di Malaysia ada banyak aliran perguruan Silat yang memiliki badan induk di nusantara, maka PESAKA Malaysia dengan rasmi diakui sebagai anggota pendiri Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang ditubuhkan pada 11 Mac 1980 di Jakarta Indonesia.