PERSEKUTUAN SILAT KEBANGSAAN MALAYSIA (PESAKA)

(Reg. No.: 0610/98)

LATAR BELAKANG

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia atau singkatannnya  PESAKA telah diilhamkan penubuhannya sejak tahun1974. Pertemuan guru-guru silat pada 1 Mac 1975 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur adalah titik permulaan usaha tersebut. Dahulunya dikenali dengan nama Majlis Silat Negara, organisasi ini secara rasminya diluluskan pendaftarannnya pada 24hb. September 1983.

Dalam usaha mewujudkan satu organisasi persilatan di Malaysia pada ketika itu terdapat 4 pertubuhan peringkat Malaysia iaitu Seni Silat Lincah Malaysia, Silat Seni Gayong Malaysia, Seni Gayung Fatani Malaysia dan Silat Seni Cekak Malaysia berserta 16 buah PESAKA Negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah, Labuan dan Putrajaya) yang bergabung. Kini dianggarkan seramai 4 juta keahlian silat di seluruh Malaysia.

DASAR

  • Bergerak sebagai badan sukarela dengan berasaskan persaudaraan, saling menghormati dan tidak membeza-bezakan masalah kaum.
  • Kegiatan adalah bercorak non-politik.
  • Berusaha dan bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang sah samada di dalam atau di luar negara demi pengembangan, kemajuan dan peningkatan mutu dan maruah silat.
  • Ikhlas, berakhlak dan budi pekerti mulia adalah teras kepada perjalanan PESAKA.
  • Bergerak di atas prinsip-prinsip Rukun Negara dan ke arah pencapaian Dasar Kebudayaan Kebagsaan.

TUJUAN

  • Menyatupadu dan mengeratkan hubungan semua badan-badan silat serta pesilat setanah air.
  • Bertindak sebagai badan yang memperjuangkan silat, perunding, penyelaras dan penasihat dalam hal ehwal persilatan.
  • Memelihara dan mempertahankan silat sebagai salah satu seni budaya bangsa Malaysia.
  • Meningkat, memajukan, membangunkan dan mengembangkan silat di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
  • Memimpin ahli-ahli dengan menanamkan semangat waja ke arah satu masyarakat yang sihat, bersatu, bermuafakat dan berbudi luhur.
  • Mewakili perguruan-perguruan silat dalam hubungan dengan kerajaan, Badan-badan Tempatan dan Badan-badan Antarabangsa yang bersangkut paut dengan kepentingan silat.

MATLAMAT

Silat sebagai keagungan dan asas ketahanan nasional yang kukuh dengan ahli-ahlinya yang bermaruah, bersatupadu, sihat dan berdisiplin

ARAH TUJU

Aktiviti Silat telah dibahagikan kepada 2 bidang yang masing masing mempunyai tujuan dan kumpulan sasar yang ada perbezaannya.

Silat Seni Budaya dan Warisan

Silat Seni Budaya dan Warisan bermaksud Silat yang wujud, diwarisi dan dikembangkan dengan kepelbagaian keaslian gerak, teknik dan unsur-unsur mengikut aliran perguruan masing-masing.

Elemen penting yang ada didalm sesebuah silat yang dikatakan sebagai seni, budaya dan diwarisi ini ialah:-

  • Mempunyai Sejarah  dan Salasiah dan Struktur Organisasitersendiri
  • Mempunyai Falsafah, Tujuan dan Matlamat tersendiri mengikut aliran perguruan.
  • Asas Pergerakan, Buah Pukulan, Kuncian, Bunga Tari Permainan Senjata dan Jurus yang mengikut aliran perguruan.
  • Mempunyai Adat, Istiadat dan Protokol tersendiri mengikut aliran perguruan.

Di Malaysia  direkodkan hampir 464 jenis aliran atau perguruan silat asli yang direkodkan.

Silat Olahraga

Silat Olahraga bermaksud silat yang diolah untuk dijadikan sebagai sukan dan dipertandingkan. Sukan Silat Olahraga mempunyai sistem dan silibus mengikut kaedah-kaedah dan peraturan tertentu yang telah ditetap dan diseragamkan bagi tujuan pertandingan. Sukan ini juga diwujudkan bagi memenuhi kriteria dan konsep kesukanan agar penyertaannya lebih menyeluruh tanpa mengira ras, jantina, bangsa, agama dan negara.

  • Mempunyai Sistem dan Silibus mengikut kaedah-kaedah dan peraturan pertandingan yang telah ditetapkan dan diseragamkan.
  • Mempunyai Struktur Organisasi (Kejurulatihan / Pegawai Teknikal / Pertandingan), tujuan dan Matlamat yang sama sperti mana sukan-sukan lain.
  • Mempunyai satu tujuan iaitumencari pemenang.

 Negara Malaysia tidak terkecuali dalam mengikuti perkembangan Antarabangsa di mana silat kini sudah mula dipertandingkan dalam bentuk Sukan Berprestasi Tinggi yang membawa kepada pungutan pingat untuk negara.

Sukan Sea pada tahun 1987 di Jakarta, Sukan Malaysia 1988 di Stadium Negara Kuala Lumpur dan Sukan Sea juga di Kuala Lumpur.

FALSAFAH

Falsafah yang dibawa dalam bentuk organisasi silat:

  • Membentuk individu yang berdisplin.
  • Membentuk individu yang taat kepada ketua dan organisasi.
  • Membentuk individu yang sabar tetapi gigih serta budi perkerti yang berteraskan budaya bangsa.
  • Membina rasa tanggungjawab.
  • Memperkukuhkan persaudaraan.
  • Mempertahankan kebenaran.
  • Menjadi senjata yang berkesan untuk mempertahankan diri.
  • Membentuk semangat jati diri menjaga maruah.